News

Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd Anjurkan Aktiviti Gotong Royong Di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia
02 October 2017

Selangor – Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd telah melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat bersama 47 orang penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia dengan mengadakan aktiviti gotong-royong bersama artis daripada Persatuan Karyawan Malaysia.

En. Zulhikam Ahmad, Pengurus Besar Malaysia Airports (Niaga), pihak pengurusan serta kakitangan Malaysia Airports (Niaga) turut meluangkan masa selama lebih 2 jam untuk beramah mesra bersama-sama para penghuni Pusat Jagaan Mahmudah di sini yang terdiri daripada 12 penghuni perempuan dan 35 penghuni lelaki. Selain daripada itu, seramai 3 artis dari Persatuan Karyawan Malaysia turut serta dalam program ini.

Malaysia Airports (Niaga) juga telah memberi sumbangan bernilai RM10 ribu ringgit berupa wang tunai, hamper makanan, penyedut hampagas dan pelbagai barangan keperluan harian kepada penghuni rumah ini.

Mengulas tentang majlis Tanggungjawab Sosial Korporat ini, En. Zulhikam Ahmad berkata, “Sebagai salah sebuah syarikat pengendali bebas cukai di lapangan terbang yang telah lama beroperasi di Malaysia – iaitu selama 24 tahun, kami amat berterima kasih kepada semua pihak-pihak berkepentingan yang telah menyumbang kepada kejayaan kami selama ini. Inisiatif seperti yang diambil hari ini merupakan salah satu cara kami menzahirkan rasa syukur kami – iaitu dengan berkongsi kejayaan bersama mereka yang memerlukan dengan memberi sedikit sumbangan kepada mereka”.

“Sumbangan ini adalah sebagai tanda keprihatinan kami sebagai sebuah syarikat korporat dan juga sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami kepada komuniti di Selangor. Diharapkan dengan sedikit sumbangan daripada kami ini, mampu membawa sinar kebahagian kepada penghuni di sini”.

Majlis bermula dengan aktiviti bergotong-royong pada sebelah pagi, pemberian sumbangan dan berakhir dengan majlis menjamu selera. Aktiviti bergotong-royong disertai oleh kakitangan Malaysia Airports (Niaga) seramai 45 orang.

“Kami juga turut berbesar hati kerana dapat melaksanakan aktiviti bergotong royong membersihkan kawasan sekitar serta di dalam asrama seperti yang di lakukan pagi tadi. Aktiviti ini memberi ruang kepada kami untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi dengan penghuni di sini. Kami berharap agar aktiviti seumpama ini dapat meringankan sedikit bebanan yang terpikul di bahu mereka,” ulas En. Zulhikam lagi.

Kempen kutipan sumbangan telah bermula pada 2 Jun dan berkahir pada 2 September 2017 telah mendapat sokongan padu daripada pelanggan yang turut serta memberi sumbangan ikhlas mereka. Sumbangan ikhlas ini juga telah dikongsi bersama 90 orang pelajar yang terpilih yang kurang berkemampuan daripada Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana dan Sekolah Kebangsan Taman Putra Perdana 2, Puchong semasa Majlis Sambutan Aidilfitri bersama Media yang dianjurkan oleh Malaysia Airports pada bulan Jun yang lepas.

“Ramai pelanggan menyokong kempen sumbangan yang kami anjurkan ini, dimana mereka juga yang turut serta memberi sumbangan ikhlas dengan memasukkan barangan yang dibeli oleh mereka. Dengan kata lain, selain daripada pihak pengurusan dan kakitangan syarikat, para pelanggan kami juga terlibat secara langsung dengan memberikan sokongan padu kepada kami dalam menjayakan majlis pada hari ini. Terima kasih di ucapkan juga kepada Garnedia yang telah memberi sumbangan roti dan para sukarelawan yang menjayakan aktiviti gotong-royong di sini”, ulas En. Zulhikam.

Majlis berakhir dengan pemberian sumbangan kepada Pengurus Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, jamuan makan dan persembahan para artis daripada Persatuan Karyawan Malaysia Radhi Khalid, Helmi the Gimmick dan Rozita Rohaizad.